Wednesday, March 21, 2012

masa aku budak kecik..

Aku masih ingat masa zaman kanak-kanak ribena dulu..Aku membesar didalam keluarga yang sederhana disebuah kawasan perumahan teres. Tapi ia seperti taman perumahan dikawasan kampung didalam bandar. Aku bertuah kerana aku mempunyai ramai kenalan yang rata-ratanya sebaya atau kurang lebih 1-2 tahun. Zaman kanak-kanak biasanya dikaitkan dengan permainan dan makanan ringan. Jujurnya ia sukar dipisahkan dari diri aku ibarat isi dengan kuku..Untuk meninggalkan semua tu memerlukan kekuatan dan keazaman yang tinggi dalam meniti alam kedewasaan.

Aku bertuah kerana berpeluang merasai nikmat alam kanak-kanak yang hebat Aku dan adik aku berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis permainan yang diperkenalkan rakan-rakan. Entah dari mana mereka bawa tapi agak mengejutkan semua permainan yang aku pernah mencuba cukup popular diseluruh negara. Aku merasai hampir segenap jenis permainan dari tradisional hinggalah yang moden. Lebih menarik semua permainan yang kami sertai ini tidak memilih jantina. Kebiasaannya kami main bersama-sama supaya lebih mencabar dan meriah.

Permainan tradisional: Galah panjang, baling selipar, polis entry, sorok-sorok (sorok barang pun ada hehe..), rumah pokok mangga (sayang sangat pokok tu tapi dah kena tebang sebab nak besarkan rumah), rumah longkang, teng teng, cikgu-cikgu, batu seremban (batu kl pun ada..adoi la..), dan lubang tikus.
Sesetengah permainan ada musimnya seperti layang-layang, gasing, guli, badminton, basikal dan main mercun.   


permainan moden: Cyberpet, Counter strike (online game, aku dan  kawan-kawan pergi cybercafe tanpa pengetahuan ibubapa semata-mata nak main game ni hehe..jahatnya aku masa tu), video game dan kereta remote control.

Sebenarnya ada banyak lagi tapi tak ingat la.Tapi ini kira yang major la.Kadang-kadang kami pergi ke suatu tempat beramai-ramai seperti jogging di lapangan terbang dan pergi pasar malam di taman permainan.Paling jauh kami naik bas free pergi stadium untuk menonton perlawanan bola sepak antara Era fm dengan Suria records.Eh, itu bukan permainan kami! =)

Ada satu permaianan yang amat merbahaya dan memesongkan akidah iaitu permainan spirit( memanggil roh kononnya tapi main dengan syaitan). Biasalah kanak-kanak tidak tahu bezakan yang baik dengan yang buruk kecuali diberitahu oleh yang lebih berpengalaman dalam kehidupan. Aku tidak terlepas dari pengalaman seperti itu. Aku pernah bermain permainan ini dengan sepupu aku secara serius dibawah pokok pada waktu siang. Memang menyeramkan samaada sepupu aku buat helah atau syiling itu memang bergerak dengan sendirinya. Macam-macam kami tanya hingga tiba soalan dia enggan jawab malah enggan menamatkan permainan. Aku gelisah tak terkata hinngga seorang teman memberitahu permainan itu syirik dan harus segera bertaubat nasuha. Mujur belum terlambat. Tapi ada sekumpulan anak muda bermain dengan lebih serius. Mereka bermain disebuah rumah kosong yang gelap dan menitiskan darah masing-masing untuk diletakkan diatas syiling. Nauzubillah..Syukur aku tidak terjebak dan masih berkesempatan untuk bertaubat. 

Dalam banyak-banyak permainan yang kami main, aku lebih rindukan galah panjang. Pernah sekali kami kumpul ramai orang dari lorong lain untuk bermain galah panjang. Itu adalah 'galah terpanjang' pernah aku saksikan. Memang agak sukar dikawal kerana mereka ada pelbagai taktik dan helah yang serba-serbi hingga cetus perbalahan (tapi tiadalah sampai bertumbuk). Tapi keadaan akan kembali normal apabila 'kes' selesai dan permainan diteruskan seperti biasa. Pernah sekali seorang kawan aku terbabas hingga masuk kedalam longkang. Kami cukup risau masa tu sebab dia berlari terlalu laju hendak menangkap lawannya hingga terbabas. Yang anehnya, semasa dia keluar dari longkang tu dia menangis sambil menyalahkan lawannya tak lama selepas itu dia gelak melihat keadaan dirinya. Dia amat bernasib baik kerana kepalanya menjunam tepat-tepat dalam alur longkang yang berpasir tu. Jika tidak mesti 'bocor' kepalanya. Adoi..suspen dibuatnya.

Sekarang semua kanak-kanak itu sudah dewasa membawa haluan masing-masing. Ada juga yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Tradisi kami terhenti begitu sahaja sejak kami semua menjejakkan kaki di sekolah menengah. Bukan langsung tiada kanak-kanak disini tapi masing-masing buat hal sendiri dan lebih selesa duduk dirumah sambil menonton tv. Sayangnya aku tak mungkin dapat melihatnya lagi kecuali menerusi siri animasi Upin & Ipin.Sebenarnya aku berhasrat post benda ni dalam blog selepas tengok siri Upin &n Ipin la.

Disini aku sedar pentingnya mempertahankan tradisi atau budaya yang menjadi identiti masyarakat Malaysia selain ia mengeratkan silaturahim.=)

No comments:

Post a Comment